Rabu, 7 Disember 2011

DISEMBER 2011

Saya ucapkan selamat bercuti kepada pelajar tingkatan 6 Rendah 2011. Sudah lebih dua minggu anda bebas dari program persekolahan. Pelajar tingkatan 6 Atas pula masih bergelut dengan peperiksaan STPM. Didoakan mereka terus berusaha hingga hari terakhir. Saya mengawas STPM calon aliran Sains di sekolah lain.

Saya ingin berpesan agar anda membuat perkara berfaedah dalam cuti ini. Libatkanlah  diri dalam aktiviti kebajikan bersama keluarga dan masyarakat. Fikirkan juga tentang pelajaran dan arah tujunya. Kalau mahu jadi saintis, berfikirlah dan bertindaklah sebagai saintis. Kalau mahu jadi doktor, lakukanlah aktiviti yang memberi informasi dalam kehidupan seorang doktor. Gunakan masa ini untuk menjengah kedai buku dan dapatkan buku yang berkaitan dengan cita-cita tersebut samada buku rujukan, latihan atau motivasi. 

Jika ada sebarang pameran, pastikan anda melihat pameran itu. Contohnya  ialah LIMA 2011 dari 6 - 10 Disember di Langkawi .Bagi pelajar Fizik pameran ini baik dihadiri kerana memberi pendedahan bagaimana operasi penerbangan dilakukan dan lihatlah struktur pesawat udara dan kapal laut  dari dekat. Anda juga berpeluang membawa balik pamplat berkaitan.

Tentu ramai yang melayari internet waktu ini. Bataskan masa dan halaman yang dilawati. Pastikan ia memberi faedah kepada diri anda. Elakkan membazir waktu bercating di halaman-halaman sosial . Kalau minat menulis, binalah blog sendiri dan jadikan ia medan menulis bahan berfaedah dari bacaan yang positif.Kalau  mahu menulis sebagai hiburan, pastikan ia ada mesej yang jelas untuk dicapai. Elakkan menulis bahan hiburan yang kosong hanya untuk popular.

Cuti ini paling baik untuk memuhasabah diri dan mendekatkan diri kepada Dia Yang Maha Esa. Analisis ciri negatif untuk dihindarkan dan bina ciri positif sebagai muslim yang kukuh peribadinya dan dapat memimpin diri sendiri dan orang lain. Apa yang perlu difahami setiap orang muslim adalah khalifah di bumi Allah ini. Banyakkan berdoa untuk kebaikan kerana Dia Maha Pemurah dan mintalah keampunan kerana Dia Maha Pengasih dan Pengampun.

Itu sahaja yang ingin saya tuliskan pada kali ini. Saya harap anda semua sentiasa diberkati Allah dan berada dalam limpah dan rahmatNya. Amin...........