Ahad, 11 September 2011

.....YANG LURUS , YANG BENGKOK.........

Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat menghadapi peperiksaan percubaan STPM 2011 kepada pelajar-pelajar 6 Atas.  Didoakan semoga anda semua akan terus berusaha dan berjaya. Jangan sekali-kali putus asa jika ada yang tidak kena pada jawapan yang telah selesai. Bertawakkal dan berdoalah semoga Allah permudahkan anda menghadapi kertas-kertas berikutnya.

Sejauh ini tentu anda bersetuju dengan saya bahawa peperiksaan  bukanlah sekadar menguji  intelek kita berdasarkan jawapan di atas kertas peperiksaan. Ia meliputi segalanya dalam kehidupan sebagaii seorang pelajar. Di sinilah kita boleh mengesan dan merasa samada diri kita ini seorang  manusia yang lurus atau seorang yang bengkok dalam  melaksana tanggungjawab yang digalas.

Kalau kita sentiasa mengamalkan perkara=perkara  yang lurus, kita boleh mengesan sesuatu yang bengkok  untuk dijauhi bagi mengekalkan kelurusannya. Kita akan  tenang kerana  merasa diri mendapat keberkatan dan keredhaan Allah dan merasa mudah melaksana apa yang dirancang dan dihajati. Sebaliknya kalau diri selalu bengkok, segalanya menjadi susah kerana bukan semua orang lain boleh faham perkara bengkok yang pelbagai jenis dan kategori.

Melaksana perkara lurus mengambil masa dan trek yang panjang. Lantaran  itu ia memerlukan kesabaran , ketabahan , kecekalan yang total kerana perlu  mempelajari pelbagai ilmu dan kemahiran yang diperlukan samada ilmu agama atau ilmu dunia , samada secara tersirat atau tersurat. Ini tidak merugikan kerana kefahaman yang  tinggi  itu boleh membantu kita mencipta ringkasan berguna secara bestari yang boleh juga dimanfaatkan oleh orang lain sebagai jariah kita.

Apakah pula faedah bagi yang bengkok?  Hanya pelaksananya boleh memberi huraian. Namun begitu ia menjadi perkara sukar di kemudian hari kerana liku-liku yang terjadi boleh menjauhkan diri daripada kebenaran, dan jauh sekali mencipta jariah kepada yang lain, sebaliknya hanya untuk melepas tengkuk sendiri dalam masa yang pendek.

Saya berharap anak didik semua berfikirlah secara lurus supaya kita boleh mengesan perkara-perkara  yang bengkok apabila dipertanggungjawabkan dalam menyelesai masalah. Pendek atau ringkas sesuatu perkara tidaklah  setara dengan perkara yang bengkok . Malangnya ..........perkara  bengkok selalu menjadi lebih popular sekelip masa namun perjalanan kita bukan untuk masa yang singkat . Itulah cabarannya.........